menikmati kopi pagi dan sarapan,
sambil diperhati matahari yang menyapa siang,
cerita dan tawa tentang hari-hari belakang,
senyum sahaja aku yang selalu memerhati ini.
Apa begitu indah punya teman yang ada bersama
ketika diri semakin dimamah usia?
Apa begitu nyaman menyirup udara pagi yang segar
dengan adanya teman bercerita?
Kalau benar begitu indah dan nyaman,
aku juga mahu yang sama untuk kita.
Aku juga mahu kita menjadi kita,
duduk di beranda rumah menikmati biskut cicah teh,
berpegang tangan aku melurut urat-urat engkau yang timbul,
daging yang semakin habis dan kulit yang semakin mengedut,
mengusap kepala yang dahulu rambutnya hitam kini putih,
tubuh yang dahulu aku peluk penuh tidak tercapai tangan mengeliling,
kini semakin susut juga semakin bongkok.
Aku cuma mahu meniti hari-hari tua bersama,
bercerita pada anak cucu tentang pertemuan kita,
rajuk mengadaku yang engkau tak alah,
tegang urat bertekak masing tak mahu mengalah,
tentang wujudnya mereka-mereka yang menjadi puak pemisah,
Aku ingin anak cucu tahu dunia muda kita indah,
kita mainkan layar filem semua kisah-kisah,
biar mereka tahu bagaimana susahnya aku mendapatkan engkau,
betapa perit hati aku diuji dengan segala duga,
hari-hari aku yang pernah penuh dengan keluh kesah,
tapi masih ada engkau yang berkata, "Sayangku, bersabarlah."
Biar mereka tahu cinta itu bagaimana,
harus kuat tega tegakkan siksa yang harus diharung,
demi berdansa atas jemala.






